fb fb fb fb fb

ASEAN akan terima pakai Deklarasi KL mengenai penggunaan media sosial selamat dan bertanggungjawab Oktober ini

Datuk Fahmi Fadzil berucap di Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025/Foto BERNAMA

TOKYO, 30 Mei - Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN akan dimuktamadkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata deklarasi itu merupakan inisiatif yang dicetus dan diterajui oleh Malaysia, dan telah diterima pakai pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 yang berlangsung pada 7 Mei lepas.

“Menerusi deklarasi ini, ASEAN memperkukuh lagi usaha kolektif untuk memupuk tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab dalam kalangan rakyat serta membina komuniti serantau yang berteraskan rakyat dan berdaya tahan digital,” katanya dalam kenyataan menteri pada Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025 di sini, hari ini.

Fahmi turut memaklumkan bahawa Malaysia sedang meneroka penubuhan ‘Kit ASEAN bagi Keselamatan Dalam Talian’, yang bertujuan mengumpulkan sumber praktikal dan amalan terbaik daripada negara anggota bagi menangani cabaran keselamatan dalam talian yang berbeza mengikut konteks negara masing-masing.

“Kit ini akan menjadi dokumen panduan untuk perkongsian ilmu dan pengalaman, sekali gus membolehkan negara anggota saling belajar antara satu sama lain serta memperkukuh usaha serantau dalam memerangi berita palsu, maklumat salah, maklumat palsu dan maklumat benar yang disalah guna yang menyumbang kepada ancaman dan eksploitasi dalam talian di seluruh rantau ini,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa bagi memastikan akauntabiliti dalam kalangan platform digital, Malaysia telah memperkenalkan Kerangka Peraturan bagi Perkhidmatan Pemesejan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan dengan lapan juta pengguna atau lebih di Malaysia untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dasar tersebut yang berkuat kuasa sejak Januari 2025, bertujuan memastikan platform utama mematuhi undang-undang negara dan lebih bertanggungjawab dalam mengurus kandungan berbahaya.

Dalam masa sama, Fahmi mengulangi komitmen Malaysia untuk memastikan akses sejagat, kesaksamaan teknologi dan kelestarian alam sekitar dalam ekosistem digital.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan serantau dalam membina persekitaran digital yang selamat, inklusif dan dipercayai.

“Menerusi kerjasama, saling percaya dan pembinaan kapasiti berterusan, kita dapat memastikan tiada siapa yang tercicir dalam era digital,” tambahnya.

Fahmi turut mencadangkan agar APT mempertimbangkan untuk menganjurkan bengkel peringkat pegawai kanan setiap tahun bagi membantu memahami cabaran yang dihadapi negara-negara anggota.

“Ia penting untuk kita merangka strategi yang sejajar dan mungkin membentuk pembangunan perundangan yang boleh mengubah cara kita berdepan dengan cabaran ini secara bersama,” katanya.

APT merupakan sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1979 melalui kerjasama antara Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU)

Bertemakan “Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific”, APT-MM 2025 menghimpunkan 31 negara anggota serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pihak pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik.

Mesyuarat itu dijadual melancarkan 'Tokyo Statement 2025' pada Sabtu ini, yang menekankan enam keutamaan utama iaitu hubungan digital, inovasi dan keusahawanan digital, kepercayaan dan keselamatan, keterangkuman digital dan pembangunan kapasiti, kelestarian serta kerjasama serantau dan antarabangsa. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN