KUALA LUMPUR, 30 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 31 Mei (esok), bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, jemputan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan kepimpinan Malaysia dalam memelihara keamanan dan keselamatan di rantau ini.
Dialog tahunan antarabangsa itu merupakan platform bagi pemimpin dan pegawai untuk membincangkan cabaran keselamatan serantau dan global.
Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Lawrence Wong.
"Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu-isu global yang berkepentingan bersama, " menurut Wisma Putra.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Pada 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN.
Perdagangan dua hala meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM396.22 bilion (USD86.69 bilion), merangkumi 13.8 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan Malaysia, dengan eksport Malaysia ke Singapura bernilai RM230.86 bilion (USD50.53 bilion), manakala import dari Singapura ke Malaysia bernilai RM143.73 bilion (USD31.45 bilion).
Sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama yang kukuh dan merangkumi pelbagai bidang.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.