TATAU, 28 September - Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dibaham buaya ketika mandi di anak sungai berhampiran pondok kebun di Ladang Tatau Estate, Sungai Semanok, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.27 malam itu, mangsa dikenali sebagai Jeffery Masing Anak Win, 21 tahun, bersama abangnya mandi di sungai berkenaan sebelum secara tiba-tiba diserang reptilia berkenaan.
Menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, abang mangsa sempat melihat insiden tersebut dan cuba menyelamatkan adiknya dengan menerkam ke arah buaya, namun gagal.
Mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam sungai oleh haiwan terbabit dan hilang daripada penglihatan.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi sejauh 37 kilometer dan tiba pada pukul 9.00 malam.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini bermula pukul 7.55 pagi tadi dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta bantuan orang awam.
Pencarian dilakukan melalui dua sektor iaitu Sektor A (air) menggunakan aset marin iaitu bot aluminium bomba dan bot APM. Manakala Sektor B (darat) dilakukan dengan berjalan kaki sepanjang satu kilometer di anak Sungai Sedupai bersama 16 orang awam.
Radius pencarian diperluaskan sehingga lima kilometer dari muara sungai ke hulu pada sesi petang. Namun, operasi ditangguhkan pada pukul 5.00 petang atas nasihat pihak polis dan akan disambung semula pada 8.00 pagi esok.
Seramai 34 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan aset termasuk satu bot bomba, satu bot APM, sebuah pacuan empat roda bomba serta sebuah Land Rover polis.
Mangsa sehingga kini masih belum ditemui.