fb fb fb fb fb

Lebuhraya WISE mula dibina tahun ini

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 22 Julai - Kerajaan Negeri Perak akan memulakan pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer pada tahun ini selepas proses pemeteraian perjanjian konsesi selesai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah memuktamadkan perbincangan bersama-sama pihak WISE berkenaan tarikh sesuai untuk majlis pemeteraian perjanjian itu.

"Saya berjumpa dengan Ketua Pengarah UKAS, mereka sedang mencari tarikh yang sesuai untuk majlis menandatangani perjanjian konsesi tersebut. Setelah selesai, WISE akan dibina setelah memuktamadkan CA itu," kata Saarani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Santuni Masyarakat Orang Asli Perak Sejahtera 2030 dan Simposium Batin 2024, di sini.

Lebuhraya WISE akan dijadikan laluan alternatif menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam perkembangan lain,  Saarani berkata kerajaan negeri membuat permohonan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk cadangan pembinaan perumahan bagi generasi kedua masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Perkara berkenaan telah diusulkan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun pada Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) yang diadakan di Kuala Lumpur minggu lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN