fb fb fb fb fb

Lebih RM300 juta hasil saman AWAS disalur semula perkukuh keselamatan jalan raya

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika di Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 15 Disember -Lebih RM300 juta hasil kutipan saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) telah disalurkan semula kepada agensi berkaitan bagi memperkukuh keselamatan jalan raya dan pendidikan pemandu sejak pelaksanaannya pada 2018.

Kutipan itu melibatkan kesalahan melebihi had laju serta melanggar lampu isyarat di lokasi yang dipantau sistem berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebahagian daripada hasil kutipan tersebut disalurkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Menurut beliau, dana itu digunakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya yang menyasarkan golongan berisiko tinggi.

“Antara inisiatif utama ialah Program Zon Sekolah Selamat bagi menyokong pelaksanaan had kelajuan 30 kilometer sejam di kawasan sekolah melalui penambahbaikan infrastruktur dan intervensi keselamatan.

Inisiatif itu bertujuan melindungi kira-kira 20,000 pelajar di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya di Dewan Negara.

Selain itu, hasil kutipan saman AWAS turut digunakan bagi menyokong Program MyLesen B2, yang memberi tumpuan kepada belia termasuk pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pengajian serta golongan kurang berkemampuan.

“Pelesenan motosikal secara sah melalui latihan formal ini diyakini dapat meningkatkan kemahiran menunggang dan mengurangkan risiko kemalangan, khususnya dalam kalangan belia yang paling terdedah kepada nahas motosikal,” ujarnya.

Pada masa sama, dana berkenaan turut menyokong pembangunan Sistem Penarafan Keselamatan Pengendali Bas Malaysia (MBOSR) serta pelaksanaan audit kualiti institut memandu.

Langkah itu bertujuan memastikan latihan pemandu yang lebih konsisten, berintegriti dan berfokuskan keselamatan.

Datuk Hasbi berkata, pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pendidikan, kejuruteraan dan budaya keselamatan penting bagi mewujudkan ekosistem jalan raya yang lebih selamat dan mampan.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran mengenai jumlah kutipan saman AWAS.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN