KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Seramai 843 penjawat awam daripada pelbagai skim dan gred perkhidmatan ditawarkan untuk memiliki unit perumahan di Piksel City Sentral, Nikka City Sentral dan Amansuri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) MADANI dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan dengan pemaju perumahan swasta di tanah persendirian atau tanah milik Kerajaan Persekutuan iaitu Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah menyasarkan penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik, termasuk penyediaan 28,000 perumahan khusus untuk penjawat awam", katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PPAM MADANI di Bandar Sri Permaisuri.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM249 juta bagi program PPAM di seluruh negara.
"Sehingga kini, sebanyak 28 projek baharu PPAM MADANI melibatkan 3,838 buah rumah telah diluluskan di pelbagai lokasi", tambahnya.
Menjelang tahun 2025, kerajaan menyasarkan kira-kira 4,000 rumah PPAM disediakan di seluruh negara.