KUALA LUMPUR 12 Disember - Sebanyak 859 peluang pekerjaan khusus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) ditawarkan pada Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Karnival yang bakal berlangsung di Aloft Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Disember ini adalah antara inisiatif terbesar penyantunan kerjaya OKU yang pernah dianjurkan oleh agensi berkenaan, selaras dengan komitmen memperkukuh agenda keterangkuman dan peluang ekonomi yang adil untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut kenyataan Perkeso, peluang pekerjaan ditawarkan oleh 24 majikan pelbagai sektor, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada komuniti OKU untuk melangkah ke alam kerjaya yang lebih stabil dan bermaruah.
"Kesemua jawatan ini dikhususkan untuk komuniti OKU dengan lebih 45 peratus daripadanya melibatkan jawatan bertaraf eksekutif dan pengurusan, sekali gus mencerminkan kesungguhan Perkeso dalam menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, bukan sekadar dari segi bilangan.
"Sebahagian besar kekosongan melibatkan sektor penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman dengan 546 jawatan, diikuti sektor perkhidmatan lain (123), perdagangan borong dan runcit (64), kewangan serta insurans atau takaful (50) dan pendidikan (28) manakala selebihnya merangkumi pelbagai sektor lain," menurut kenyataan itu.
Antara majikan utama yang terlibat ialah Maybank, Padini Holdings Berhad, Aeon Co (M) Berhad dan GD Express Sdn Bhd yang bersedia menerima pencari kerja OKU berkelayakan untuk menyertai organisasi masing-masing.
Jawatan Independent Verification Analyst (IVA) di syarikat Genashtim Sdn Bhd pula, antara yang menawarkan gaji paling tinggi pada karnival berkenaan, dengan julat antara RM4,000 hingga RM4,999.
Perkeso turut menyediakan rangkaian sokongan kerjaya komprehensif sepanjang karnival tersebut, termasuk kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan dan bantuan pembinaan resume secara intensif oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan.
Selain itu, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membolehkan pencari kerja OKU menjalani sesi pemprofilan bagi jawatan perkhidmatan awam dan menghadiri temu duga untuk jawatan MySTEP.
Semua pencari kerja OKU digalakkan untuk membuat prapendaftaran menerusi laman sesawang www.myfuturejobs.gov.my/careerfair bagi melancarkan proses kemasukan dan padanan pekerjaan sepanjang penganjuran karnival berkenaan.