
BATU KAWAN, 4 Sept – Seramai 7,238 peserta dari 13 negara menyertai Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 (MYJAM15) yang berlangsung selama enam hari di Batu Kawan, Pulau Pinang.
- Peningkatan penyertaan berbanding tahun lalu mencerminkan perkembangan positif gerakan pengakap.
- Program menjadi platform untuk membina persahabatan dan persefahaman antara peserta pelbagai negara.
- MYJAM15 menerapkan nilai kepimpinan, kerjasama, persahabatan dan semangat berkhidmat kepada masyarakat.
- Pulau Pinang mencatat penyertaan tertinggi, diikuti Perak, Johor, Kedah dan Selangor.
Jumlah itu meningkat lebih 3,000 peserta berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan perkembangan positif gerakan pengakap.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penyertaan besar dari pelbagai negara itu menjadi platform untuk membina persahabatan serta persefahaman dalam pelbagai aspek.

Katanya, MYJAM15 turut menerapkan nilai kepimpinan, kerjasama, persahabatan dan semangat berkhidmat kepada masyarakat.
“Seramai 7,238 individu terlibat, terdiri daripada 6,180 peserta kebangsaan, 489 peserta antarabangsa dan 569 anggota pasukan perkhidmatan.
“Pulau Pinang mencatat penyertaan tertinggi dengan 1,291 orang, diikuti Perak (687), Johor (626), Kedah (608) dan Selangor (559),” katanya ketika berucap pada majlis penutupan MYJAM15 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Negara yang turut menyertai MYJAM15 ialah Sri Lanka, Indonesia, Maldives, Vietnam, Korea Selatan, Bangladesh, China, Thailand, Australia, Singapura, Brunei, Filipina dan Hong Kong.