
KUALA LUMPUR, 4 September – Junior Innovathon Musim Kedua 2026 tampil lebih inklusif dan kompetitif apabila jumlah penyertaan yang diterima melebihi jangkaan, lebih 6,000 peserta, menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
- Kategori baharu MBPK diperkenal, membuka peluang murid berkeperluan pendidikan khas menonjolkan idea dan menyertai kategori Tunas Kencana.
- Proses saringan lebih mencabar; peserta perlu menyediakan slaid, video dua minit dan memikat juri profesional dalam masa terhad.
- Ekosistem berkembang disokong kementerian dan penaja; 50 pasukan terpilih bersaing menerusi lima episod, siaran bermula 20 September.
Beliau berkata, perkembangan itu turut didorong pengenalan kategori baharu Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), sekali gus membuka ruang kepada golongan berkenaan untuk mengetengahkan idea dan inovasi mereka.
“Junior Innovathon 2026 ini lebih inklusif apabila kita membuka satu kategori baharu untuk murid berkeperluan pendidikan khas atau MBPK, malah kategori mereka turut disediakan hadiah untuk pertandingan kategori Tunas Kencana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut.
Menurutnya, saingan musim kedua juga dijangka lebih kompetitif apabila peserta perlu melalui proses saringan yang lebih mencabar, termasuk menyediakan pembentangan dalam bentuk slaid serta video pendek berdurasi dua minit.
Katanya, peserta bukan sahaja perlu mempunyai idea yang baik, malah perlu mampu meyakinkan juri profesional dalam tempoh yang singkat menerusi penyampaian, pengenalpastian masalah dan penyelesaian yang dikemukakan.
“Untuk meyakinkan juri profesional menerusi pitching dalam tempoh dua minit bukan mudah. Ada elemen bagaimana mereka menyampaikan, menyatakan masalah dan penyelesaian yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata, sasaran awal program adalah untuk menerima 3,000 penyertaan, manakala pengembangan ekosistem Junior Innovathon tahun ini turut membolehkan penilaian bakat dan idea peserta dibuat dengan lebih menyeluruh.
Katanya, perkembangan ekosistem itu turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta rakan penaja.
Sementara itu, sebanyak 2,092 penyertaan diterima sepanjang tempoh pendaftaran dari 14 Jun hingga 10 Ogos lalu sebelum proses penjurian oleh 15 juri berkelayakan dilaksanakan.
Daripada jumlah itu, 1,875 pasukan layak ke peringkat saringan, merangkumi 1,270 penyertaan sekolah menengah, 605 sekolah rendah dan 75 penyertaan daripada kategori MBPK.
Sebanyak 50 pasukan terbaik, masing-masing 25 sekolah menengah dan 25 sekolah rendah, dipilih untuk berentap menerusi lima episod bagi merebut tempat ke kemuncak Junior Innovathon.
Junior Innovathon Musim Kedua 2026 akan mula bersiaran pada 20 September ini, manakala kemuncak pemilihan juara dijadual berlangsung pada 1 November.
Program dikendalikan hos versatil Alif Satar itu bersiaran setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam menerusi TV1 serta RTMKlik.