KOTA KINABALU, 27 Mac - Lebih 4,000 umat Islam sekitar Bandaraya Kota Kinabalu di sini menyertai Majlis Khatam dan bacaan doa al-Quran sempena Majlis Sambutan Istiqbal Nuzul Al-Quran Peringkat Sabah di Masjid Negeri di sini malam ini.
Turut hadir menyemarakkan majlis Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Afifin Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan.
Pada majlis itu Hajiji turut menyampaikan sumbangan tunai daripada Perbadanan Baitumal Sabah kepada 30 golongan asnaf dari sekitar Kota Kinabalu, sebelum menyertai majlis berbuka puasa serta menunaikan solat maghrib, isyak dan sunat tarawih berjemaah.
Mereka yang hadir pada majlis berkenaan berpeluang mendengar Tazkirah Khas Nuzul Al-Quran oleh pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Derry Sulaiman.
Di Sarawak, majlis sambutan Nuzul Al-Quran diadakan di Masjid Al-Muttaqin dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta beberapa ahli Kabinet negeri.
Sejurus tiba, Wan Junaidi berbuka puasa sebelum menunaikan solat maghrib berjemaah bersama hadirin yang lain.
Acara sambutan diteruskan dengan bacaan al-Quran berangkai melibatkan tiga qari dari Samarahan iaitu Jubli Sulong, Ismanhadi Jaafar dan Mohd Hafiz Shafiee
Ia diikuti tazkirah Nuzul Al-Quran bertajuk Al-Quran dan Seruan ke Arah Maju Makmur yang disampaikan oleh Mufti Sarawak Datuk Kipli Yassin sebelum jemaah menunaikan solat isyak dan sunat tarawih. - BERNAMA