KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Lebih 3,000 peserta membanjiri Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini bagi menyertai PERKESO Run & Ride 2022 setelah dua tahun ditangguhkan akibat COVID-19.
Program ini dilaksanakan seiring dengan inisiatif hijau KL Car Free Morning yang mempromosi gaya hidup sihat dan melindungi alam sekitar.
Menurut Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, pihaknya percaya bahawa perlindungan sosial yang terbaik bermula daripada pekerja yang sihat dan cergas.
Tambah beliau, pelbagai masalah kesihatan yang timbul dalam kalangan pekerja seperti tahap kolestrol tinggi, masalah obesiti, darah tinggi dan diabetes adalah berpunca dari gaya hidup individu.
"Kami bagi pihak PERKESO dan juga diri saya ingin menyeru kepada semua pekerja supaya mengambil berat terhadap kesihatan masing-masing dan perbanyakkanlah aktiviti fizikal.
Manfaatkan program-program kesihatan seperti Program Saringan Kesihatan PERKESO (HSP) yang menawarkan perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma kepada pencarum PERKESO," kata Subahan membacakan teks ucapan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan.
(Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal bersama tetamu kehormat
semasa melepaskan (flag-off) acara larian yang dianjurkan pagi tadi)
Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu acara larian ‘Fun Run’ dan acara berbasikal ‘Fun Ride’, masing-masing sejauh tujuh kilometer yang bermula dan berakhir di depan Menara DBKL, Jalan Raja Laut.