fb fb fb fb fb

APMM Kuala Kurau rampas 90 set bubu naga

KUALA KURAU, 16 Oktober- 90 set bubu naga bernilai RM6,300 berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata ia susulan penahanan sebuah bot di kedudukan 6.8 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Jelasnya, pasukan bot peronda APMM telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin di perairan Kuala Kurau.

Siasatan lanjut mendapati, bot dikendalikan oleh tiga nelayan tempatan berusia antara 19 hingga 31 tahun.

Menurutnya, lesen bot adalah sah namun pemilik asal tidak mengusahakan sendiri bot tersebut dan spesifikasi enjin tidak sama seperti yang didaftarkan.

Kesemua kru, bot, bubu naga, hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 11(3)(b) kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.


(Tiga nelayan tempatan berusia antara 19 hingga 31 tahun itu ditahan dan disiasat
di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985)

Media Baharu