HULU LANGAT, 7 Januari - Lebih 3,000 mangsa banjir di Selangor telah menerima dokumen pengenalan diri baharu menerusi Program Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara, JPN.
Dilaksanakan sejak 4 Disember lalu, penggantian dokumen peribadi yang musnah atau hilang sewaktu bencana banjir itu dilaksanakan secara percuma.
Antara dokumen pengenalan diri seperti Mykad, sijil lahir, sijil kematian atau lain-lain dokumen yang dikeluarkan oleh JPN.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata program ini dilaksanakan bagi memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat JPN.
"Membantu rakyat kita yang menghadapi bencana waktu banjir baru-baru ini. Program mekar ini bukan hanya berlaku atau diadakan waktu bencana sahaja, malah telah dilaksanakan di seluruh negara tapi kerana saya telah menjanjikan apabila saya datang pada awal banjir kita akan berikan secara percuma.
Kita telah bermula pada 4 haribulan di beberapa kawasan di negeri Selangor. Sehingga hari ini sudah melebihi tiga ribu yang telah kita berikan " katanya selepas sesi lawatan dan penyerahan dokumen diri kepada mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini.
Sebanyak dua buah bas Mobile JPN akan berada di Taman Sri Nanding selama tiga hari bermula hari ini hingga 9 Januari bagi memudahkan penduduk yang terjejas memohon penggantian dokumen pengenalan diri mereka.