SHAH ALAM, 24 November- Jawatankuasa khas bakal ditubuhkan bagi mencari penyelesaian kekurangan beras putih tempatan di pasaran, ketika ini.
Ini termasuk usaha transformasi agensi dan badan berkaitan pengeluaran padi termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi mengatasi isu berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak lain bagi mencari jalan terbaik membendung masalah yang mencetuskan pertikaian banyak pihak.
"Kita akan mencari jalan yang terbaik dan libat urus sedang dibuat dengan beberapa kementerian antaranya KPDN.
KPKM akan bersama kementerian berkaitan dalam mencari jalan terbaik untuk hadapi masalah beras. Beras ada, cuma kekurangan beras putih," kata Datuk Seri Mohamad kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Selangor 2024, di sini.
Tambahnya, antara inisiatif lain, KPKM merancang mempromosi daerah Sekinchan sebagai jelapang padi secara besar-besaran bagi meningkatkan pengeluaran padi pada masa depan.
Mengulas lebih lanjut, Mohamad Sabu memaklumkan isu kekurangan beras tempatan juga turut dipengaruhi faktor cuaca seperti musim hujan yang sedang melanda negara ketika ini.