AYER KEROH, 20 Julai- Di Melaka, lebih 200 penonton menyaksikan tayangan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim di Dewan MEHAS, Universiti Geomatika Malaysia Melaka, Ayer Keroh.
Acara dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat dengan diikuti menonton upacara istiadat tersebut menerusi dua televisyen yang disediakan.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Melaka, Ab Rasil Hajatil berkata, pelbagai aktiviti disusun, selain menonton istiadat tersebut.
Katanya, program sedemian penting bagi mendidik masyarakat mengenali keunikan sistem giliran beraja yang diamalkan di negara ini.
"Ini adalah penting, disamping itu juga ada dianjurkan di Alor Gajah dan di Melaka Tengah.. ada pertandingan mewarna, semuanya menjurus ke arah pertabalan diraja, kita nak perkenalkan kepada masyarakat, belia-belia kita berkenaan sistem beraja.. ini adalah keunikan yang ada di negara kitalah, yang tiada di negara lain selain dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas tayangan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di sini.
Sementara itu, para penonton teruja menyaksikan upacara tersebut walaupun hanya melalui tayangan di kaca televisyen.
"Saya sangat bangga hari ini dapat menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, pertama kali lihat tayangan seperti ini dan saya sangat bangga juga bawa kanak-kanak dari persatuan tarian singa untuk terlibat program ini. Ia dapat menambah ilmu mereka," kata penonton, Hau Han Yong.
"Jadi saya lihat bagaimana reaksi dan juga sentimen yang mereka letakkan dalam kenegaraan mereka itu dapat ditambah, itu yang menjadi keutamaan upacara ataupun kepentingan program kali ini," kata penonton, Mohd Faris Firdaus Lamid.
"Saya rasa gembira dapat melihat ramai orang, pelbagai kaum datang kat sini hari ini, memang sangat gembira," kata penonton, Kalairathi Subramaniam.