KANGAR, 26 Februari – Lebih 2,000 penduduk setempat tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian sempena bulan Ramadan dalam Program Jualan Agro MADANI dan Promosi Produk Usahawan Peladang.
Program anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ini menawarkan harga rahmah kepada pengunjung untuk mendapatkan bekalan makanan, dengan sasaran nilai jualan melebihi RM20,000.
Menurut Pengarah LPP Negeri Perlis, Roshidah Ahmad, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah turut memperkenalkan produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan di setiap Pertubuhan Peladang Kawasan.
"Program ini menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk agro makanan di bawah jenama LPP, di samping memberi peluang kepada pengguna menikmati harga yang jauh lebih murah berbanding pasaran luar," katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, LPP akan melaksanakan 12 siri Program Jualan Agro Madani di seluruh Perlis, melibatkan semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan penyertaan 300 usahawan.
Beliau memaklumkan perkara itu kepada media dalam Program Jualan Agro Madani dan Promosi Produk Usahawan Peladang Pra Ramadan, yang berlangsung di Perkarangan Ibu Pejabat LPP Negeri Perlis. Program ini melibatkan penyertaan 18 usahawan dari seluruh Perlis.
Antara produk yang ditawarkan pada harga rahmah termasuk daging lembu segar, daging kambing, barangan keperluan harian, produk pertanian seperti buah-buahan dan anak pokok, serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).