
PUTRAJAYA , 26 Februari – Lebih 100,000 warga asing telah pulang ke negara asal menerusi Program Rekalibrasi Migran (PRM).
- Lebih 100,000 warga asing pulang ke negara asal menerusi Program Rekalibrasi Migran.
- Program menyumbang lebih RM88 juta kepada pendapatan kerajaan setakat ini.
- Sistem janji temu diganti dengan kaedah hadir terus atau walk-in bagi memudahkan urusan.
- Pelaksanaan di pejabat imigresen seluruh negara, sambutan lemah di beberapa negeri Pantai Timur dan utara.
Inisiatif itu, setakat ini telah menyumbang lebih RM88 juta kepada pendapatan kerajaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, PRM yang dilaksanakan hingga 30 April depan mendapat sambutan menggalakkan, khususnya menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
“Setiap kali masuk bulan puasa dan makin dekat dengan Hari Raya, sambutan memang akan bertambah. Itu trend yang kita lihat setiap kali program ini dilaksanakan.”
Bagi memudahkan urusan, beliau berkata, kaedah janji temu tidak lagi digunakan dan digantikan dengan sistem hadir terus atau ‘walk-in’.
“Sekarang kita buka secara walk-in sahaja. Siapa cepat, dia dapat selesaikan pada hari tersebut. Jika tak sempat, mereka boleh datang semula keesokan hari,” ujar beliau.
Menurut Datuk Zakaria, pelaksanaan PRM tidak tertumpu di Lembah Klang semata-mata, sebaliknya dilaksanakan di pejabat imigresen di seluruh negara.
Namun, permohonan untuk menyertai program itu di beberapa negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung dilaporkan kurang mendapat sambutan.
Ditanya sama ada PRM akan dilanjutkan selepas berakhir pada penghujung April depan, beliau memaklumkan perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat Kementerian Dalam Negeri.