PUTRAJAYA, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini mencatat kehadiran luar biasa apabila lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya, di sini sejak awal pagi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, angka itu berdasarkan data rasmi Perbadanan Putrajaya dan dengan lebih 14,000 peserta terlibat secara langsung dalam acara perbarisan.
"Saya cukup berbangga dan cukup gembira. Alhamdulillah semua perancangan berjalan seperti yang telah kita susun. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyantuni pasukan human graphic atau grafik manusia yang terdiri daripada lebih 2,000 para pelajar pelbagai sekolah.
"Mereka ini telah berlatih lebih dua bulan untuk acara pada hari ini. Beliau (Perdana Menteri) telah menitipkan pesan kepada para pelajar bahawa persembahan tersebut merupakan persembahan yang terbaik.
"Kita dapati ada yang telah datang untuk bersedia berkampung di sini sejak daripada petang semalam pukul 5 petang dan ada yang datang malam dan awal pagi untuk menyaksikan acara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Datan Putrajaya di sini.
Penganjuran tahun ini diserikan dengan acara sisipan, Riuh Merdeka, yang berlangsung di kawasan sekitar Monumen Alaf Baru hingga pukul 6.00 petang dengan pelbagai persembahan, makanan, minuman dan jualan produk tempatan.
Datuk Fahmi turut menngucapkan penghargaan kepada petugas media yang bertungkus-lumus membuat liputan dari lokasi sambutan.
"Penganjur akan menambah baik beberapa aspek teknikal seperti kedudukan jurufoto bagi memastikan liputan lebih lancar pada masa hadapan," katanya lagi.