fb fb fb fb fb

Lebih 10,000 sukarelawan, anggota APM siap siaga hadapi bencana

KUANTAN, 6 Mei- Lebih 10,000 sukarelawan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga di belakang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menghadapi sebarang bencana terutamanya fenomena El Nino dan jangkaan gempa bumi di negara ini.
 
Selain daripada kesiapsiagaan keanggotaan, APM turut bersedia dari segi logistik.
 
Menurut Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, arahan pengoperasian akan dilaksanakan selepas menerima arahan daripada NADMA.
 
"Kita sebenarnya APM ini akan bersedia di belakang NADMA dan juga di belakang kerajaan–kerajaan negeri.

"NADMA yang akan urus, kami tidak boleh nak mendahului. Namun kami di peringkat operasi memanglah latihan itu berterusan di mana pengarah-pengarah negeri telah diberi tugasan.

"Arahan supaya sentiasa bersiap sedia termasuklah yang ada baru-baru ini viral menyatakan Malaysia mungkin dilanda gempa bumi.

"Kita sudah bersedia cuma dari segi dasarnya kita tunggulah, tetapi kita akan cuba. Orang kata bila keluar sahaja kita terus laksana, begitu juga dengan fenomena El Nino ini," katanya.
 
Bagi memantapkan lagi kemahiran anggota, APM Pahang julung kali mengambil inisiatif mengadakan Latihan Pemantapan Pre-Hospital Care Zon Pantai Timur 2023 di Kuantan selama tiga hari.
 
Tambahnya, seramai 104 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota APM bagi Zon Timur telah terlibat dalam program tersebut.

(Foto fail)

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan latihan amali serta praktikal oleh pegawai-pegawai terlatih.
 
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan penglibatan orang awam dalam APM untuk menyebarkan fungsi-fungsi APM dalam masyarakat.
 
Beliau berkata demikian kepada media selepas  merasmikan Majlis Penutup Latihan Pemantapan Pre-Hospital Care Zon Pantai Timur 2023 Dan Penyerahan Watikah di Auditorium Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA), Kuantan Pahang, hari ini.

Media Baharu