CANBERRA, 7 Mac - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia disifatkan berjaya terutama dalam prospek pelaburan ke Malaysia dan juga berupaya membuka jalan kepada kemajuan ketara dalam pelbagai sektor termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan budaya.
Anwar berkata, pendekatan komunikasi secara terus dengan rakan dagang menjadikan perbincangan dua hala mampu mencapai kata sepakat.
Ini katanya sekali gus memberi impak positif kepada peningkatan pelaburan, kerjasama dalam bidang sukan, pendidikan, dan penyelidikan, termasuk penelitian vaksin.
"Cara pendekatan kita dengan pendekatan Kementerian Luar Negeri itu terus terang supaya mereka faham kita bicarakan bersama sahabat kita mahu keakraban hubungan di antara kedua negara.
"Di samping itu kita harus berbicara secara terang apa yang kita bersetuju, apa yang kita kurang bersetuju dan juga pandangan-pandangan kita, negara agar konsisten dengan amalan demokrasi kemanusiaan dan juga hak asasi, jadi jangan kita ambil sikap pilih kasih. Saya ingat walaupun ada sikit perbezaan tetapi nampak sambutan baik," katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Anwar, lawatan kali ini bukan sahaja mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia-Australia, bahkan usaha kerjasama yang progresif buat kedua-dua negara.