fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Vietnam, perkukuh hubungan dua hala pelbagai bidang

HANOI, 19 Julai- Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam bermula esok sangat signifikan bagi dua negara jiran yang telah menjalin hubungan diplomatik selama 50 tahun.

Lawatan itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, tetapi juga meninjau potensi memperluas kerjasama sedia ada, dan menjalin kerjasama baharu.

Ini termasuk mempromosikan hubungan perdagangan dan pelaburan.

Lawatan Perdana Menteri kali ini dilihat signifikan memandangkan Vietnam merupakan rakan dagang Malaysia ke-12 terbesar di dunia dan ke-4 terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam sidang media berkata ia merupakan lawatan pertama perdana menteri ke Vietnam.

Ini adalah atas undangan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh yang disampaikan ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Mei lepas.

"Lawatan perdana menteri ini sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama dan hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, sejak lima dekad yang lalu.

"Ketika lawatan perdana menteri dijangkakan beberapa pertemuan penting akan diadakan. Perdana menteri akan menyaksikan pemeteraian kerjasama di antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Vietnam Chambers of Commerce and Industry (VCCI)," katanya di sini.

(Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir)

Jadual padat menanti perdana menteri dalam lawatan rasmi tersebut. Sebagai pembuka tirai lawatan, Anwar bersama delegasi Malaysia akan diberi sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden Hanoi.

Dalam rangka lawatan dua hari itu, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Vo Van Thuong, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Vong Dinh Hue.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut akan dimeterai antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Vietnam Chambers of Commerce and Industry (VCCI).

Laporan disediakan Atikah Makhtar.

Media Baharu