PUTRAJAYA, 30 Jun - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga destinasi ekonomi global iaitu Rom, Paris dan Rio de Janeiro bermula esok hingga 7 Julai ini akan menggunakan perkhidmatan penerbangan sewaan khas daripada Malaysia Airlines.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata keputusan itu membolehkan jadual padat Perdana Menteri di ketiga-tiga negara berjalan lancar tanpa perlu transit lama.
“Kos penerbangan sewaan khas juga lebih ekonomik berbanding operasi penuh pesawat kerajaan.
"Selain itu penyelarasan yang menyaksikan delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas dan tiba bersama-sama, menjamin kehadiran tepat waktu untuk semua mesyuarat dan sesi libat urus,” katanya dalam Sidang Media Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan hanya menanggung kos bagi delegasi rasmi melibatkan pegawai kerajaan.
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa kerajaan menanggung sepenuhnya kos delegasi rasmi untuk delegasi kerajaan, manakala delegasi perniagaan akan menanggung sendiri kos mereka,” katanya.
Antara delegasi perniagaan yang mengikut misi lawatan di ketiga-tiga negara termasuk Petronas, Khazanah Nasional, Maybank, Tenaga Nasional Bhd (TNB), FGV, YTL Power dan Sunway.