fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Kemboja berjaya kukuh hubungan dua hala, bincang pelbagai isu

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di akhir lawatan rasmi sehari ke
Kemboja/ Foto BERNAMA)

PHNOM PENH, 28 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi sehari di Kemboja dan lawatan tersebut disifatkan berjaya memperkukuh hubungan diplomatik kedua negara, khususnya dalam bidang sumber manusia dan perdagangan.

Dalam konteks hubungan dua hala, Perdana Menteri dan rakan sejawatannya, Hun Sen senada dalam menggalakkan lebih banyak pertukaran lawatan bagi meneroka lebih banyak dimensi kolaborasi baharu.

Menerusi industri halal misalnya, Malaysia menzahirkan komitmen membantu Kemboja dalam mengembangkan pasaran ke peringkat global.

Turut diperhalusi, urusan pengambilan tenaga kerja domestik dan formal menerusi dua memorandum persefahaman (MoU).

"Perbincangan dua hala dengan Hun Sen yang menyentuh isu perdagangan dan beberapa MoU ditandatangani ada beberapa usul khususnya tentang mengajak syarikat Malaysia seperti Axiata mengembangkan syarikat di sini, termasuk peningkatan penggunaan buluh tempatan di sini," kata Anwar ketika bercakap kepada media Malaysia di penghujung lawatannya, di sini.

(Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kemboja disifatkan berjaya memperkukuh
hubungan diplomatik kedua negara, khususnya dalam bidang sumber manusia dan
perdagangan/Foto FB Anwar Ibrahim)

Kerjasama kerajaan Kemboja dalam membantu menyelesaikan kes membabitkan mangsa penipuan pekerjaan antara bukti keseriusan hubungan utuh antara dua negara.

Isu serantau seperti Myanmar juga antara yang dibincangkan dalam kunjungan kali ini.

"Kita bincang pasal isu Myanmar yang cukup rumit, kita nak pendekatan yang komprehensif tanpa menyinggung kedudukan dalaman ketegangan politik Myanmar," jelas Perdana Menteri.

Meskipun ini merupakan lawatan rasmi yang singkat namun ia disifatkan komprehensif dalam memuktamadkan dimensi baharu perkongsian serta titik kesepakatan berkaitan isu serantau demi kemakmuran bersama.

Laporan Sazswani Samsu.

Media Baharu