TOKYO, 22 Mei - Kira-kira sebulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida mengadakan sidang Jepun-Malaysia, hanya menerusi panggilan telefon, membincangkan dan mengutarakan kebimbangan terhadap isu serantau dan antarabangsa terutama konflik Rusia-Ukraine yang berisiko menggugat kestabilan rantau Asia.
Perbincangan tersebut dijangka akan akan dapat diperincikan kali ini di Tokyo, sempena kerja rasmi sulung Perdana Menteri ke negara matahari terbit itu bermula esok.
Keakraban hubungan Malaysia-Jepun sejak negara mencapai kemerdekaan tidak lagi boleh disangkal.
Lebih 6 dekad usianya, istimewa kunjungan Perdana Menteri kali ini bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama di antara Kuala Lumpur dan Tokyo selanjutnya.
Jadual padat menanti Datuk Seri Ismail Sabri selama 6 hari lawatan bermula dengan ketibaannya di Tokyo malam esok.
Sudah pasti, agenda utama Perdana Menteri untuk bertemu rakan sejawatannya Fumio Kishida, selain rakan-rakan sejawatan lain yang turut serta dalam persidangan Nikkei kali ini.
Berdasarkan laman web penganjur, antara pemimpin yang dijangka hadir termasuk Perdana Menteri Singapura, Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Bangladesh serta bekas-bekas pemimpin dunia.
Perdana Menteri pula dijadual menyampaikan ucaptama dan berdialog dengan peserta persidangan tahunan Nikkei kali ke-27 dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin perniagaan utama Jepun yang telah diatur dalam mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan kondusif.
(Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal membuka lebih banyak peluang
kerjasama di antara Kuala Lumpur dan Tokyo)
Sesuai dengan tema persidangan, Mentakrif Semula Peranan Asia, Dalam Dunia Yang Berpecah Belah’, Perdana Menteri sudah pasti membawa nada sama yang disuarakan ketika di Washington baru-baru ini, bahawa Malaysia akan menekankan ‘Kepaksian ASEAN’ dalam hubungan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Ia juga suara Malaysia mewakili rantau ASEAN mempertahankan pendirian serantau agar boleh membangun bersama dalam memajukan rantau ini seperti rantau-rantau lain.
Di luar persidangan Nikkei, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri sesi temuramah bersama media tempatan Jepun.
Membuktikan sokongan dan keakraban kedua-dua negara, Perdana Menteri dijangka akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Nihon. Penganugerahan ijazah akan disempurnakan dalam satu majlis yang dijadual berlangsung di bandar Itabashi.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang berada di Tokyo teruja menanti ketibaan Perdana Menteri di negara matahari terbit itu.
Rata-rata mereka yang sama ada sedang bekerja atau melanjutkan pelajaran di Jepun merasakan ini waktu terbaik untuk melepas kerinduan bertemu rakyat Malaysia yang terdiri daripada delegasi persidangan, apatah lagi selepas tidak dapat pulang ke tanah air sepanjang Covid-19 melanda.
Dr Amirudin Abdul Wahab dan Hartini Samsudin antara yang teruja menanti ketibaan Perdana Menteri di negara matahari terbit itu.
Mereka merasakan ini waktu terbaik untuk melepas kerinduan bertemu rakyat Malaysia yang terdiri daripada delegasi persidangan, apatah lagi selepas tidak dapat pulang ke tanah air sepanjang Covid-19 melanda.
Laporan oleh Azmah Abdul Wahab dari Tokyo, Jepun.