fb fb fb fb fb

Larangan kenderaan NGV, demi keselamatan pengguna - Penganalisis

Profesor Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Rozmi Ismail

KUALA LUMPUR, 4 November- Larangan penggunaan kenderaan dengan bahan api Gas Asli Mampat (NGV) mulai 1 Julai 2025, disifatkan sebagai langkah proaktif kerajaan demi memastikan keselamatan pengguna.

Profesor Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Rozmi Ismail menjelaskan, ketika ini tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV telah menghampiri fasa tamat tempoh tangki dan perlu diganti.

Sehubungan itu, kesukaran mendapatkan komponen tulen serta harga komponen yang mahal bakal mengakibatkan ia sukar diganti.

Selain itu, ia menyebabkan kenderaan gagal berfungsi dengan baik sehingga boleh mengakibatkan kematian dan kecederaan.

"Terdapat beberapa kes kemalangan dan juga kebakaran. Kemalangan akibat daripada gas meletup.

Kalau kita lihat sejarah, pernah berlaku di Melaka, Johor pada 2016 dan 2022 menyebabkan kebocoran memasukkan gas. Ada juga di Melaka kereta meletup sewaktu memasukkan gas NGV ini.

Isu keselamatan dan isu tidak ada alat ganti yang tulen, sukar mendapatkannya dan harganya lebih mahal, kalau nak ditukar. Maka, saya rasa keputusan kerajaan menghentikan ini adalah satu langkah yang baik," kata Dr. Rozmi ketika dihubungi wartawan Berita RTM.

Beliau turut berpandangan penamatan tersebut juga berupaya mengurangkan kesan negatif pencemaran terhadap alam sekitar.

Sementara itu, kos modifikasi yang tinggi bagi kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api Gas Asli Mampat (NGV) dilihat sebagai salah satu faktor utama kerajaan menguatkuasakan larangan penggunaan kenderaan tersebut bermula Julai tahun hadapan.

Penganalisis automotif, Hezeri Samzuri menjelaskan tangki-tangki NGV mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun.

Bagaimanapun, sekiranya tidak diselenggara selepas tempoh itu, kenderaan tersebut berpotensi mendatangkan risiko kemalangan dan letupan.

"Sekarang teknologi enjin kenderaan sudah jauh lebih baik dan lebih menjimatkan. Tidak perlu lagi menggunakan NGV kerana NGV juga ada keburukan.

Contohnya, daripada segi prestasi, NGV memang sedikit menurun dan kita kena buat modifikasi ekstrem kepada enjin itu sendiri.

Kenderaan-kenderaan yang menggunakan NGV ini, kit NGV itu mempunyai batasan masa iaitu lebih kurang dalam 15 tahun di mana kebanyakan komponennya perlu diganti terutamanya tangki," kata Hezeri ketika dihubungi Berita RTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM