fb fb fb fb fb

Lapan kawasan di Marang bakal hadapi gangguan air pada Aidilfitri

(FOTO RTM)

KUALA TERENGGANU, 12 April- Sebanyak lapan lokasi di Marang, Terengganu dijangka mengalami masalah gangguan air berjadual pada musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Abdul Karim Endut berkata kawasan itu ialah Kampung Durian Kasim, Bukit Kecil, Durian Pahit, Gong Balai, Pasir Putih, Alor Ketitir, Tok Fakir dan Felda Rantau Abang l.

Beliau berkata susulan itu pihaknya telah membuat perancangan awal dan akan menempatkan 34 tangki statik di kawasan terjejas bagi memastikan semua pengguna mendapat bekalan air yang mencukupi.

“Tahun ini kita dah kenal pasti awal (kawasan terjejas). Ada sebahagian kecil kawasan di Marang memandangkan kerja-kerja pembinaan dan agihan air dari Loji Air Kepong ke tangki-tangki utama masih berjalan.

“Tetapi peratusannya (kawasan terjejas) sangat kecil melibatkan lebih kurang 600 akaun,” katanya pada majlis berbuka puasa SATU X Media (Setulus Kasih Ramadan) di sini, malam tadi.

Menurut Abdul Karim pihaknya juga menjangkakan peningkatan penggunaan air sebanyak 10 hingga ke 15 peratus pada musim perayaan tahun ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan tiada gangguan bekalan air di daerah-daerah lain selain sebahagian kecil kawasan di Marang.

Katanya lagi, setiap hari SATU membekalkan kira-kira 750 juta liter (mld) air kepada pengguna di seluruh Terengganu.


(Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Abdul Karim Endut)

Media Baharu