fb fb fb fb fb

Lantik pihak berwajib pantau keselamatan murid guna pengangkutan air

Datuk Seri Fatimah pada majlis penyampaian bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga mangsa lemas perahu karam Sungai Kayan Kampung Selampit di Lundu / FOTO RTM

LUNDU, 29 Ogos- Pihak berkuasa bagi memantau murid dan pelajar sekolah di Sarawak yang menaiki bot menyeberangi sungai untuk ke sekolah perlu dilantik bagi memastikan mereka mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan, termasuk memakai jaket keselamatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, lantikan boleh dibuat menerusi rundingan jawatankuasa kampung dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah terlibat.

Jelas beliau, peraturan sudah ada, namun tiada penguatkuasaan untuk memastikan keselamatan penumpang termasuk pelajar dan murid.

“Jika lihat sekolah-sekolah di darat, pihak sekolah atau PIBG sudah menggajikan seorang individu untuk membantu pelajar atau murid melintas jalan dengan selamat.

“Kita lihat keperluan sama diperlukan untuk pelajar dan murid yang mahu ke sekolah dengan menyeberangai sungai menggunakan perahu, ia merupakan keperluan selepas insiden ini berlaku,” jelasnya selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga mangsa lemas perahu karam Sungai Kayan Kampung Selampit di Lundu.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melaksanakan sesi temu bual dengan mangsa-mangsa yang terselamat dalam kejadian perahu karam di Sungai Kayan, Lundu.

Datuk Seri Fatimah Abdullah, memaklumkan ia diadakan bagi mengenal pasti keperluan dan sokongan yang diperlukan mangsa selain turut diberi bantuan kaunseling dan kelengkapan sekolah.

“Selepas keadaan tenang sedikit dan mangsa-mangsa ini pulang ke rumah masing-masing, kita sudah susuli dengan bantuan yang diperlukan untuk menenangkan perasaan dan emosi mereka,” katanya.

Terdahulu, keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian itu sudah mendapat bantuan psikologi daripada JKM dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi menggunakan kaedah Intervensi Peringkat Awal pada 20, 21 dan 23 Ogos lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE