fb fb fb fb fb

Langkah bantu golongan B40 tanpa keluar KWSP bakal diumum- Rafizi

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Beberapa langkah sesuai membantu rakyat tangani kenaikan kos sara hidup, akan diumum dalam tempoh terdekat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini termasuk membuka peluang kepada lebih ramai golongan B40 menjana pendapatan tambahan, supaya tidak perluĀ keluarkan simpanan (KWSP)

"Ada beberapa langkah yang akan diumumkan. Dalam masa terdekat kita menunggu pengumuman belanjawan sebab kita tidak boleh nak umum dahulu sehingga belanjawan itu diumumkan. Ini termasuk contohnya membuka peluang kepada golongan B40 ke bawah untuk menjana pendapatan tambahan.

"Pada masa sama, melalui kajian separuh penggal RMK12 yang sedang berlaku sekarang, kita mula melihat kepada dasar-dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji kerana ia tidak boleh melihat kepada kos sara hidup semata, tetapi kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua ke lima tahun akan datang untuk memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran.

"Jadi di peringkat kami, cuma jangka sederhana dan panjang," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat di ibu negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Jelasnya, simpanan KWSP itu adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.


(FOTO FAIL/ BERNAMA)

Media Baharu