KUALA LUMPUR, 26 Mac – Langkah agresif dan bersepadu perlu diambil segera bagi menangani serangan siber yang mengancam sistem keselamatan negara, terutama melibatkan data peribadi rakyat.
Menurut Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam kerajaan perlu segera menyalurkan dana khusus kepada pihak berkaitan bagi memperkukuh sistem keselamatan siber negara.
"Sangat penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur luar terhadap kemampuan negara dalam mengawal selia dan menjaga keselamatan siber. Keberkesanan dalam pengawasan serta kawal selia keselamatan siber amat diperlukan, terutama membabitkan data kewangan dan data peribadi yang perlu dilindungi oleh pihak berautoriti seperti kerajaan," katanya ketika dihubungi RTM.
Seruan itu susulan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa sistem Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah digodam dengan tuntutan tebusan bernilai 10 juta dolar Amerika.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan menyalurkan peruntukan tambahan kepada agensi berkaitan bagi memastikan negara bersedia menangani ancaman penggodaman.