fb fb fb fb fb

Aidilfitri: DUN Galas agih RM75,000 zakat kepada 500 penerima

Mohd Syahbuddin Hashim (dua kanan) menyampaikan bantuan sumbangan wang zakat di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Galas di Bandar Utama, Gua Musang, hari ini/RTM

GUA MUSANG, 26 Mac- Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas memperuntukkan lebih RM75,000 wang zakat kepada lebih 500 anak yatim, asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan mualaf bagi membeli pakaian serta kelengkapan sempena Aidilfitri.

ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban keluarga yang memerlukan dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Ini merupakan acara tahunan. Jika tahun lalu kami membawa anak-anak ini membeli baju raya, tahun ini kami memilih untuk mengagihkan bantuan secara tunai bagi mengelakkan kesesakan dan memberi lebih kebebasan kepada penerima untuk memilih sendiri kedai atau pasar raya bagi membeli kelengkapan anak mereka. Ini juga sebagai galakan kepada pihak lain, termasuk sektor korporat, untuk turut serta membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan bersyukur atas keprihatinan wakil rakyat dalam membantu mereka.

Salah seorang penerima, Hayati Yahya berkata sumbangan itu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan raya terutama untuk anak-anak.

"Bantuan ini sangat membantu. Terima kasih YB Abe Din (Yang Berhormat (Mohd Syahbuddin Hashim) atas sumbangan ini. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami dalam membuat persiapan raya, terutama untuk anak-anak supaya mereka dapat menyambut dengan lebih meriah," katanya.

Seorang lagi penerima, Suria Talib meluahkan rasa syukur kerana bantuan itu dapat menampung keperluan anak-anak asnaf dan anak yatim.

"Saya sangat terharu dengan keprihatinan YB Abe Din dalam membantu anak-anak asnaf dan yatim. Harga pakaian semakin meningkat berbanding tahun lalu, jadi pemberian ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan mereka," katanya.

Mereka ditemui RTM selepas menerima sumbangan wang zakat di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Galas di Bandar Utama di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA