LABUAN, 19 September – Labuan menjadi lokasi ke-15 penganjuran Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan pengiktirafan “Bersih dan Selamat” (BeSS) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran, sokongan serta pematuhan masyarakat terhadap kepentingan kebersihan dan keselamatan makanan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata menerusi program BeBAs, premis makanan yang memenuhi kriteria ditetapkan akan diberikan pengiktirafan BeSS.
“Bersih dan Selamat ini merupakan jaminan kepada orang ramai bahawa kedai yang kita iktiraf menyediakan makanan bersih dan selamat. Sekiranya berlaku insiden keracunan makanan, kita akan memeriksa dan mengenakan tindakan kepada premis terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di beberapa premis sekitar pusat bandar, hari ini.
Datuk Lukanisman Awang Sauni (tengah) pada Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan / Foto Bernama
Sebanyak lapan premis di Labuan diiktiraf BeSS selepas mematuhi Seksyen 18, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) serta Akta Makanan 1983 (Akta 281).
“Kita telah mengeluarkan garis panduan jelas, antaranya premis perlu memaparkan larangan merokok dan vape, tidak menyediakan tempat atau bekas abu rokok di meja makan serta memastikan premis bebas daripada elemen berkaitan asap rokok,” jelasnya.
Setakat ini, lebih 365,000 premis telah dilawati dengan 19,175 operasi dijalankan. Daripada jumlah itu, sebanyak 114,939 notis Seksyen 47 dikeluarkan atas kesalahan boleh kompaun, manakala 915 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun di bawah Akta 852.
Operasi di Labuan disertai seramai 60 pegawai dari Bahagian Program Kesihatan Awam serta Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Labuan dan ibu pejabat KKM.