fb fb fb fb fb

KWSP nafi berdepan krisis tunai, ketidakcukupan wang

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 12 April- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan spekulasi ia berdepan krisis tunai dan ketidakcukupan wang untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.

KWSP dalam kenyataan menegaskan, sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya.

Segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya dan bukan untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.

Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun lepas, walaupun semasa berlakunya krisis COVID-19.

Pengurus dana persaraan itu turut menyangkal dakwaan bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka.

Ahli diingatkan agar hanya merujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial.

KWSP menjelaskan, keutamaannya adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991.

KWSP juga sedang berbincang dengan Kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu