SHAH ALAM, 2 Oktober - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi jaminan untuk terus menyokong syarikat berprestasi tinggi bagi membolehkan mereka berkembang daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)
kepada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan syarikat tempatan yang kini menjadi vendor Bumiputera dan berupaya bekerjasama dengan syarikat utama termasuk PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perodua serta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuktikan keupayaan usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
"Saya sangat berbangga dengan perkembangan syarikat Glide Technology, khususnya selepas menerima sokongan tambahan daripada SME Corp dan SME Bank. Saya yakin syarikat ini akan terus mencetuskan kejayaan serta berpotensi disenaraikan di Bursa Malaysia.
"Harapan kita adalah untuk melihat mereka menjadi syarikat anchor yang seterusnya mampu membangunkan vendor-vendor Bumiputera baharu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat itu di sini hari ini.
Pada majlis sama, Ewon turut melancarkan produk baharu hasil inovasi Glide Technology dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), iaitu Client Pump Oil Base Insulating Oil berasaskan minyak sawit.
Produk itu diyakini mampu menjadi tambah nilai kepada permintaan minyak sawit negara sekiranya digunakan secara meluas oleh syarikat utiliti tempatan.
Setakat ini, sebanyak 38 syarikat peneraju telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan KUSKOP bawah program pembangunan vendor.
"Pada 23 Oktober ini, kita akan menandatangani MoU dengan Sabah Electricity dan kini berada pada fasa akhir rundingan dengan sebuah syarikat utiliti di Sarawak. KUSKOP juga akan terus meneroka kerjasama dengan syarikat besar termasuk GLC bagi memperkukuh penyertaan vendor Bumiputera," katanya lagi.
Agenda penskalaan PMKS akan menjadi fokus utama KUSKOP dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan dapat berkembang ke tahap perusahaan besar.