fb fb fb fb fb

Guna ruang diplomasi sepenuhnya bebaskan 12 rakyat Malaysia

Foto Arkib

KOTA TINGGI, 2 Oktober - Rakyat diminta memberi ruang kepada usaha yang sedang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini, bagi membebaskan 12 rakyat Malaysia dengan selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, kerajaan menggunakan semua saluran diplomatik dan bukannya ketenteraan bagi memastikan keselamatan peserta Global Sumud Flotilla( GSF).

"Kita semua mendoakan keselamatan mereka dan memberi sokongan penuh kepada usaha-usaha kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri," ujarnya.

Tambah beliau, semua pihak digesa agar sentiasa berhati-hati dalam mengambil apa jua tindakan bagi mengelakkan nyawa kesemua tahanan terancam. 

"Sebab itulah kerajaan komited menghadiri mesyuarat dan mengadakan pertemuan agar hubungan diplomatik serta bilateral dapat dibina. Ia berguna jika berlaku sebarang perkara berbangkit atau isu antarabangsa, bukan bertujuan untuk mengeruhkan keadaan tetapi lebih kepada mencari jalan penyelesaian," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Sesi Townhall Peringkat Daerah Kota Tinggi di Kolej Vokasional Kota Tinggi.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN