PAROI, 26 Jun - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan koperasi menyertai federasi mengikut keutamaan khususnya sektor pertanian dan perladangan.
Timbalan Menterinya Datuk Muslimin Yahaya berkata langkah itu dapat menangani isu bekalan makanan dalam jangka masa panjang.
Konsep federasi itu juga bagi tujuan pengumpulan modal, kepakaran serta sumber untuk membolehkan ia terlibat menghasilkan pengeluaran dalam skala lebih besar.
"Konsep federasi ini maksudnya dua atau tiga koperasi yang menjalankan perniagaan yang sama. Contohnya, penternakan lembu kita gabungkan supaya mereka boleh mengeluarkan input yang lebih besar.
"Ia seterusnya dapat memperkukuhkan daya saing sesebuah koperasi berlandaskan perinsip ke enam iaitu bekerjasama di antara koperasi," katanya kepada media sejurus merasmikan Hari Koperasi Negara 2022 peringkat Negeri Sembilan sempena Sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini, hari ini.
Setakat ini, lebih 50 koperasi dari seluruh negara yang mengusahakan pertanian dan perladangan secara federasi.
Dalam pada itu, KUSKOP telah mengenal pasti 4,000 hektar tanah daripada koperasi ANGKASA untuk diusahakan dengan tanaman jagung.
Hasil daripada keseluruhan tanaman itu dijangka mampu mengeluarkan empat hingga lima tan jagung sekaligus menampung 20 peratus daripada keperluan makanan ayam dalam negara.