KUALA LUMPUR, 3 Januari - Kerajaan disaran mempertimbang melanjutkan program bantuan khusus bagi golongan rentan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.
Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpendapat, ini berikutan situasi semasa seperti bencana banjir yang membebankan khususnya kumpulan berpendapatan rendah dengan isi rumah yang besar.
Menurut beliau, rakyat mungkin akan terjejas jika moratorium tidak diteruskan dan ini akan memberi kesan kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara.
Bantuan-bantuan yang lain seperti bantuan kewangan secara langsung juga pada ketika ini boleh ditambah bukan sahaja akibat keadaan banjir tetapi juga keadaan harga barangan serta kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bantuan yang disalur akan dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan domestik.