fb fb fb fb fb

Kunjungan Sheikh Al-Azhar ke Malaysia satu penghormatan besar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Julai- Lawatan khas Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia merupakan satu penghormatan besar kepada negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kehadiran Sheikh Al-Azhar dapat memberi manfaat dalam menekankan kepentingan peningkatan kefahaman Islam.

"Yang menariknya ialah kearifan beliau mengenal permasalah semasa. Beliau mahu umat Islam ke depan dalam soal digital, kecerdasan buatan, peralihan tenaga dan juga dalam hal ini, maknanya beliau minta supaya umat Islam jangan ketinggalan bidang-bidang penerokaan alam pemikiran teknologi baru", katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series yang dihadiri lebih 400 tetamu di Putrajaya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan Sheikh Al-Azhar bersetuju untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian Bahasa Arab di Malaysia, selain membuka peluang untuk 25 orang Imam mendapat latihan peningkatan imam di Kaherah, Mesir menerusi penyelarasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Beliau setuju untuk mewujudkan Institut Pengajian Bahasa Arab Al-Azhar di Malaysia dan saya terus berikan persetujuan.

"... Dan saya kata cara Kerajaan MADANI ini, dia berikan pandangan pada jam 8.00... jam 8.01 minit, saya buat persetujuan. Menteri Luar ada, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Agama ada, terus laksanakan, insya-Allah... ini semangat baru", katanya.

Pada majlis sama, dalam syarahan bertajuk 'Peranan Akhlak dan Toleransi Dalam Pembangunan Negara MADANI', Sheikh Al-Azhar mengajak rakyat Malaysia untuk menjaga keharmonian dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa.

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Arab Mesir, selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.

ROSLINA BINTI DIN