fb fb fb fb fb

Kunjungan Marco Rubio kukuhkan Perkongsian Strategik Malaysia-AS

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 10 Julai -Kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh hubungan Malaysia-Amerika Syarikat ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dua hala itu membuka ruang kerjasama lebih luas, khususnya dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.

"Kami juga bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak, termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar," katanya dalam satu kenyataan selepas pertemuan tersebut.

Perdana Menteri turut menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus ke atas produk Malaysia seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.

"Malaysia adalah antara negara dagang utama Amerika di rantau ini.

"Saya tegaskan bahawa tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau," jelas beliau.

Malaysia berpandangan bahawa ruang rundingan harus terus dibuka untuk menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun.

Mengulas mengenai situasi di Gaza, Datuk Seri Anwar berkata beliau menekankan keperluan segera untuk menghentikan kekejaman dan menyambut baik berhubung kemungkinan pelaksanaan gencatan senjata serta pembukaan laluan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

"Saya nyatakan dengan jelas bahawa kekejaman di Gaza perlu dihentikan. Usaha ke arah gencatan senjata menunjukkan perkembangan positif dan bantuan kemanusiaan harus segera disalurkan," katanya.

Beliau turut menyentuh kepentingan kerjasama serantau melalui ASEAN, dengan menekankan bahawa Amerika Syarikat masih dilihat sebagai rakan strategik penting.

Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI