KUALA PERLIS, 4 Mei- Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menawarkan 25 program pengajian untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Rektornya, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle, permohonan secara dalam talian untuk kemasukan pelajar baru bagi sesi Julai dan September telah dibuka untuk Asasi Pengajian Islam dan Asasi Muamalah.
Jelas beliau, bagi Asasi Muamalah syarat kemasukannya ialah lima kredit / kepujian termasuk lulus Matematik manakala bagi Asasi Pengajian Islam pula ialah lima kredit / kepujian termasuk Bahasa Melayu serta lulus Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Pendidikan, Syariah Islam, Tasawwur Islam dan Pendidikan Islam.
Tambahnya, empat fakulti yang terdapat di KUIPs iaitu Pengajian Islam, Fakulti Quran dan Sunnah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan serta Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam.
Bagi mengelakkan sebarang kesilapan semasa proses permohonan, pemohon adalah terlebih dahulu disaran untuk berhubung dengan mana-mana pegawai dari Jabatan Pemasaran untuk maklumat lanjut serta khidmat nasihat dengan menghubungi talian 014-6210842, 013-4020760, 019-5088617, 017-5125513, 019-6276983 atau 011-56825075 untuk keterangan lanjut.
(Foto fail)
Pemakluman berkaitan kelulusan dan tawaran akan dibuat melalui email dan SMS kepada semua pemohon, manakala surat tawaran kepada pelajar yang berjaya boleh dimuat turun terus dari sistem setelah diluluskan nanti.
Sementara itu bagi permohonan biasiswa pula, pemohon yang telah berjaya ditawarkan kemasukan dengan surat tawaran rasmi KUIPs sahaja yang akan diberi capaian untuk memohon biasiswa.