CHANGLUN, 24 November - Kubang Pasu menjadi daerah kedua di Kedah dilanda banjir.
Setakat ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah memaklumkan operasi menyelamat penduduk yang terjejas banjir sedang dilakukan untuk menempatkan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kedah berkata lima PPS dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Masjid Al Ehsan, Changkat Setol, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi dan di SK Binjal.
Bilangan penduduk yang terjejas banjir di daerah tersebut kini dalam bancian.
Sementara itu, di daerah Kulim, sehingga pukul 12.00 tengahari, seramai 371 penduduk terjejas daripada 110 keluarga yang berlindung di 3 PPS. Manakala, seramai 169 penduduk terjejas daripada 49 keluarga ditempatkan di Masjid Al-Muhtadin.
Sementara itu, 39 penduduk daripada 11 keluarga berlindung di Surau KEDA Naga Lilit dan 163 penduduk daripada 50 keluarga ditempatkan di SK Permatang Tok Dik.
Banjir melibatkan dua mukim iaitu Mukim Sg. Seluang dan Mukim Naga Lilit. Antara kampung yang terlibat ialah, Kg. Sg. Seluang Atas, Kg Seluang Bawah, Kg. Bukit Sarang Ayam dan Kg Siam.
