fb fb fb fb fb

KS25 bawa semangat 'serumpun', tonjol perpaduan melalui budaya

Shamsul Bahrin Zainuzzaman

KUALA LUMPUR, 6 September - Acara ikonik sambutan Hari Malaysia, Keretapi Sarong 2025 (KS25) kembali pada 13 September ini dengan tema 'Serumpun' sekali gus memperkukuh semangat perpaduan melalui budaya, seni dan komuniti.

Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, edisi ke-9 kali ini bukan sahaja menekankan kepelbagaian rakyat Malaysia, malah memperluas mesej perpaduan ke peringkat ASEAN.

"Keretapi Sarong adalah tradisi Hari Malaysia yang mengingatkan kita tentang warisan bersama serta hubungan serantau sebagai keluarga ASEAN. Tahun ini kita akan lihat lebih ramai peserta mengenakan pakaian tradisi dari negara jiran, mencerminkan budaya serumpun Nusantara," katanya.

Ribuan rakyat Malaysia dijangka akan meraikan acara ini dengan cara unik iaitu bersarong dan menaiki tren serta bas awam dari 11 stesen sekitar Lembah Klang menuju ke pusat perayaan di ibu negara.

KS25 turut dianjurkan serentak di tujuh lokasi seluruh negara termasuk George Town, Ipoh, Kuantan, Sungai Petani, Pasir Mas, Johor Bahru dan Melaka yang merupakan negeri terbaharu menyertai acara ini selepas menerima permintaan tinggi daripada komuniti setempat.

Lebih menarik, edisi antarabangsa di Berlin, Melbourne, London dan Sydney turut menambah warna kepada perayaan budaya itu dan mengekspresikan sambutan Hari Malaysia di mata dunia.

Tahun ini, KS25 memperkenalkan kelainan dengan penambahan stesen permulaan, kerjasama komuniti baharu serta penganjuran pesta makanan warisan yang dinamakan 'Makan Legend', menampilkan juadah tradisi kebanggaan rakyat Malaysia.

"Tujuan kami bukan sekadar berhimpun bersarong, tetapi juga memperkasakan komuniti melalui seni, budaya dan makanan warisan yang menyatukan rakyat," katanya lagi.

Menjelang ulang tahun ke-10 pada tahun depan, penganjur berharap lebih banyak negeri akan menyertai gerakan ini, bagi memperluas mesej perpaduan dan semangat Serumpun ke seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI