fb fb fb fb fb

Kru kapal hilang ditemukan lemas di perairan Tanjung Bungah

FOTO JBPM PULAU PINANG

GEORGE TOWN, 23 November - Operasi mencari seorang kru kapal warga Indonesia yang hilang sejak kelmarin berakhir selepas mangsa ditemukan lemas di perairan Pulau Keramat, Tanjung Bungah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata mangsa berusia 46 tahun itu ditemukan oleh seorang nelayan pada sekitar pukul 4.35 petang.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya membantu membawa naik mayat mangsa ke pesisir pantai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati lelaki tersebut adalah kru kapal yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kapal di Pelabuhan Pulau Pinang," katanya.

Operasi pencarian itu melibatkan lapan anggota termasuk seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dan Bagan Jermal, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 7.40 malam.

Terdahulu, media melaporkan pihak bomba menerima panggilan daripada polis pada pukul 3.55 petang bagi membantu mengesan mangsa yang dipercayai terjatuh antara pukul 10 malam hingga 2 pagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE