
KUALA LUMPUR, 7 April – Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dibenar menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian susulan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi mendepani krisis tenaga global.
- Langkah bertujuan memudahkan warga IPTA mengimbangi keperluan akademik dengan cabaran semasa tanpa menjejaskan kualiti pembelajaran.
- Universiti diberi fleksibiliti melaksanakan pembelajaran dalam talian apabila perlu, berdasarkan pengalaman pelaksanaan sebelum ini.
- Tindakan melabelkan IPT sebagai 'lubuk' rasuah dianggap tidak adil; Kementerian terbuka untuk sebarang siasatan termasuk SPRM.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu bertujuan memberi kemudahan kepada warga IPTA terutama pensyarah dan mahasiswa dalam mengimbangi keperluan akademik dengan cabaran semasa tanpa menjejaskan kualiti pembelajaran.
“Kita berikan fleksibiliti untuk para pelajar. Saya telah maklumkan dalam konteks universiti, kita benarkan kepada mereka kalau sekiranya perlu melaksana pembelajaran secara dalam talian kerana universiti sudah pernah menjalankannya sebelum ini, katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr. Zambry menegaskan, tindakan pihak yang melabelkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara sebagai ‘lubuk’ rasuah adalah tidak adil dan tidak bertanggungjawab.
Beliau memberi jaminan Kementeriannya terbuka sekiranya mana-mana agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat mana-mana IPT yang terpalit isu berkenaan. ###