fb fb fb fb fb

KPWKM terus beri sesi kaunseling kepada waris mangsa nahas helikopter

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (empat, kanan) menziarahi keluarga Allahyarhamah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, iaitu Nur Qistina Awliya Mohd Azinor, 16, (dua, kiri), Nur Qistina Auni, 16, (kiri), Nur Qistina Afia, 6, (dua, kanan) dan suami kepada Allahyarhamah, Mohd Azinor Azizan, di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

LUMUT, 14 Mei - Bantuan sokongan kaunseling kepada waris mangsa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas 23 April lalu akan diteruskan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, setakat ini hasil daripada kaunseling tersebut keluarga waris menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata pihaknya bersedia menyalurkan sebarang bentuk keperluan sekiranya diperlukan waris mangsa.

"Susulan daripada perjumpaan dan lawatan pada hari ini sebenarnya pegawai kaunselor kita telah bersama-sama mereka sudah buat sesi dengan mereka dan ianya tidak akan terhenti setakat ini sahaja selagi mana perlu ada perjumpaan tersebut ianya akan terus dilaksanakan," kata Noraini ketika ditemui pemberita selepas menziarahi waris Allahyarham Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar di Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed.

Noraini turut menyampaikan bantuan wang tunai RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara dan barangan keperluan kepada keluarga Allahyarham.

Beliau turut menziarahi waris Allahyarham Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun di kuarters Stesen Komunikasi TLDM Parit di Seri Iskandar.

Dalam kejadian pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM maut selepas dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Sementara itu suami Nor Rahiza, Mohd Azinor Azizan berkata anak bongsu mereka Nur Qistina Afia, 6, masih bertanyakan mengenai ibunya sehingga kini.

Bagaimanapun katanya mereka sekeluarga sudah mula menerima kenyataan kehilangan insan yang tersayang.

TETITIA YUSOFF