KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menjalankan satu kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi pewujudan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia.
Timbalannya, Aiman Athirah Sabu, penggubalan akta warga emas ini dilihat sebagai langkah positif yang bersifat holistik untuk melindungi warga emas di Malaysia.
"Antara kandungan akta tersebut adalah melindungi kebajikan warga emas, melindungi hak asasi warga emas, memperkasa warga emas, memperkasakan ahli keluarga dan komuniti, mewujudkan sistem sokongan yang kuat untuk warga emas dan mewujudkan sistem sokongan yang kukuh untuk penjaga.
"Usaha pewujudan satu akta warga emas ini merupakan salah satu langkah kementerian dalam menangani isu penuaan penduduk dengan pendekatan yang dapat mengharmonikan semua pihak dan sebagai persediaan negara ke arah mencapai status Negara Tua pada tahun 2030," katanya.
(Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu)
Pada masa sama, beliau juga turut memaklumkan bahawa pihak kementerian juga akan meneliti kesesuaian undang-undang terhadap anak-anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat umum tentang kepentingan menjaga warga emas akan meningkat.
Aiman Athirah menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.