fb fb fb fb fb

KPT prihatin kebajikan pelajar, termasuk pengajian separuh masa

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), termasuk pelajar yang mengikuti pengajian secara separuh masa.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebagai komitmen berterusan pelbagai bentuk bantuan disediakan bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada akses pendidikan tinggi yang berkualiti.

"Misalnya bantuan pembiayaan pendidikan pelajar B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termasuk yang mengikuti pengajian separuh masa boleh dikategorikan sebagai peminjam yang layak diberi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) maksimum.

"Ini berdasarkan kelayakan pelajar, ibubapa atau penjaga sebagai penerima Sumbangan Tunai Rahmah mengikuti pengajian separuh masa di IPT," katanya menjawab soalan Senator Noorita Sual di Dewan Negara.

Sehingga Julai tahun ini, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada lebih 3.1 juta peminjam daripada golongan B40, termasuk penerima STR.

Pinjaman itu turut merangkumi pelajar yang mengikuti pengajian secara separuh masa, dengan jumlah keseluruhan pinjaman mencecah RM59.44 bilion.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI