fb fb fb fb fb

Program MADANI Rakyat 2025 diteruskan dengan pendekatan lebih inklusif

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Mat Isa

KUALA LUMPUR, 3 September - Program MADANI Rakyat (PMR) akan diteruskan pada tahun ini dengan pendekatan yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Mat Isa, PMR merupakan platform penting yang membawa pelbagai inisiatif kerajaan secara langsung kepada rakyat di seluruh negara.

Ia juga membolehkan masyarakat melihat sendiri hasil dasar dan pelaksanaan Kerajaan MADANI, serta memberi maklum balas secara terus kepada pihak kerajaan.

Beliau menjelaskan, penganjuran PMR pada tahun ini diperluaskan kepada sembilan lokasi, berbanding enam zon pada tahun sebelumnya.

"Tahun lepas saja kita telah berjaya menarik lebih kurang 1.8 juta pengunjung ke semua program PMR.

Tahun ini, kita bahagikan kepada dua kategori iaitu PMR skala besar dan skala kecil," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 .

Dua program skala besar yang telah berlangsung di Tawau, Sabah dan Lumut, Perak mencatatkan kehadiran hampir 200,000 dan 222,000 pengunjung.

Sementara itu, program di negeri-negeri lain seperti Johor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan turut menerima sambutan menggalakkan dengan anggaran kehadiran antara 150,000 hingga 180,000 pengunjung di setiap lokasi.

Mengulas mengenai penganjuran seterusnya, Datuk Seri Mohamad Fauzi memaklumkan PMR akan diteruskan di Baling, Kedah pada 4 hingga 6 September ini, sebagai program berskala kecil yang tetap objektif utama membawa perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat.

Program tersebut akan diadakan di Kompleks Sukan, Majlis Daerah Baling, dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Antara pengisian utama termasuk Jualan Rahmah Madani yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus, selain lebih 40 aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan.

"Kita ada juga program di bawah JPJ, kita boleh tukar helmet baru.Kita juga ada majikan-majikan yang membuka reruai masing-masing untuk menawarkan...saya ingat lebih daripada 10 majikan dia menawarkan 500 pekerjaan kepada penduduk tempatanlah," katanya.

PMR tahun ini terus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat menjadi fokus utama dalam pembangunan negara, melalui pendekatan bersemuka dan secara langsung.

Jelas Datuk Seri Mohamad Fauzi, apabila rakyat berkomunikasi dengan kerajaan, kerajaan secara automatik akan memberi perhatian kepada suara rakyat.

"PMR ini sebenarnya membawa perkhidmatan kepada rakyat. Maksudnya, rakyat tidak perlu keluar ke bandar untuk selesaikan urusan kerajaan.

Mereka boleh hadir ke satu lokasi dan selesaikan lima atau enam urusan sekaligus," katanya.

Tambah beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja memudahkan rakyat, malah menjadi platform menyeluruh untuk menyampaikan dasar-dasar penting kerajaan yang berkaitan dengan ekonomi, pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan kebajikan.

Datuk Seri Mohamad Fauzi turut memaklumkan empat program satelit akan diadakan bersempena PMR Baling di kawasan sekitar, meliputi pelbagai fokus komuniti.

Lokasi terlibat ialah Felda Lubuk Merbau, Felda Gunung Bongsu, Eco Park Baling yang menumpukan kepada kesedaran bencana, serta program eksplorasi perpaduan di Kupang.

Program berkenaan dijangka mampu memperluas capaian inisiatif kerajaan kepada lebih ramai golongan sasaran di kawasan luar bandar.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI