fb fb fb fb fb

KPT perkenal pendekatan baharu tangani isu guna tenaga, kebolehpasaran graduan

Foto FB Zambry Abd. Kadir

PUTRAJAYA, 21 November- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan pendekatan baharu untuk menangani isu guna tenaga tidak penuh dan kebolehpasaran graduan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ia bagi mengatasi masalah kebolehpasaran graduan yang sukar mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang atau kelayakan akademik yang dicapai.

"Pendekatan tersebut bertujuan mewujudkan perangkaan khusus berpandukan keperluan pasaran dan padanan kerjaya, termasuk prospek bagi lima tahun akan datang.

"Ini melibatkan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya pada Program Bicara dan Makan Tengah Hari bersama Editor Media, di sini.

Selain itu, Zambry mengumumkan Festival Idea Putrajaya pada 27 hingga 29 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Festival tersebut bertujuan mengetengahkan idea inovatif untuk pembangunan negara.

Turut hadir pada program tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, barisan pengurusan tertinggi KPT, barisan editor media tempatan termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Shahri Saripan.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM