KUALA LUMPUR, 25 April- Kenyataan tular seorang penceramah warga asing di media sosial yang dilihat tidak menghormati sentimen masyarakat, mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Menteri KPT, Dr Zambry Abd Kadir, beliau telah mengarahkan Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara berkenaan serta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang membabitkan penceramah itu.
"Pada masa sama, suka untuk saya ingatkan kepada setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan."
"Setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan," kata kenyataan itu.
Tambahnya, meskipun institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, ia tidak bermakna institusi bebas secara mutlak, sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia.