KPMB lancar Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara, bantu pelajar asnaf & B40

FOTO KPMB

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) dengan kerjasama Kolej Pengajian Keselamatan dan Penyiasatan Malaysia (KPKPM) melancarkan Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara, bagi memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar daripada golongan asnaf, anak yatim dan kumpulan B40.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara untuk memperluas akses pendidikan kepada pelajar asnaf, anak yatim dan kumpulan B40.
  • Peruntukan awal RM15 juta dan bantuan pembiayaan sehingga RM16,450 bagi asnaf/anak yatim dan RM9,600 bagi B40 per pelajar diploma.
  • KPKPM menekankan latihan praktikal dan kompetensi industri keselamatan untuk melahirkan graduan berintegriti dan berdaya saing.

Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan Pengerusi KPMB, Datuk Shamsudin Mat, yang juga mantan Komandan PULAPOL Kuala Lumpur.

Turut hadir, barisan kepimpinan KPMB serta KPKPM, serta rakan strategik industri.

Datuk Shamsudin berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan KPMB dalam meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, di samping memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang kritikal kepada pembangunan negara.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara. Melalui kerjasama strategik ini, KPMB dan KPKPM beriltizam menyediakan laluan pendidikan yang mampan, berdaya saing serta berorientasikan kebolehkerjaan,” katanya.

Bagi fasa permulaan, sebanyak RM15 juta diperuntukkan sebagai dana pembiayaan pendidikan bagi menyokong pelajar yang layak.

Antara bantuan ditawarkan termasuk pembiayaan sebanyak RM16,450 atau 50 peratus daripada yuran pendaftaran dan yuran pengajian peringkat diploma kepada pelajar kategori asnaf dan anak yatim, sekali gus membolehkan mereka memulakan pengajian tanpa bayaran awal.

Pelajar daripada kumpulan B40 pula layak menerima pembiayaan RM9,600 atau 30 peratus daripada yuran pengajian peringkat diploma, manakala bagi peringkat sijil, pembiayaan sehingga RM15,000 disediakan kepada setiap pelajar yang memenuhi syarat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPKPM, Dr. Farah Mazwina Abdul Hajis berkata, KPKPM komited menyediakan program pengajian berteraskan keperluan industri keselamatan dan penyiasatan, dengan penekanan terhadap pembentukan disiplin, sahsiah serta kompetensi profesional.

Beliau berkata, latihan praktikal yang komprehensif seperti latihan menembak, kawat, berkuda, seni pertahanan diri dan pengendalian anjing K9 turut diterapkan bagi melahirkan graduan yang bersedia memasuki alam pekerjaan.

“KPKPM berperanan melahirkan modal insan yang kompeten, berintegriti dan berdaya saing. Kerjasama bersama KPMB ini memperkukuh usaha kami memastikan akses pendidikan tidak terhalang oleh kekangan kewangan,” katanya.

Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan modal insan negara, khususnya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi untuk sektor keselamatan, penyiasatan dan perkhidmatan berkaitan.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat memohon biasiswa berkenaan boleh menghubungi talian 03-8084 9999 atau Pegawai Unit Biasiswa di talian 012-368 9999, tertakluk kepada syarat kelayakan dan kuota yang ditetapkan.

FOTO KPMB